Sambung bicara 1MDB bekas PM, Datuk Seri Najib Razak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 5 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-49 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa perjumpaan dan perbincangan diplomatik Datuk Seri Najib Razak di atas kapal persiaran bersama Putera Turki dan Tareq Obaid sebagai wakil dari PetroSaudi International Ltd (PSI) telah mendatangkan kerugian kepada negara.

Malah Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin yang juga penyiasat skandal 1MDB mendakwa perbincangan  tidak mengikut saluran rasmi turut disertai oleh ahli keluarga bekas Perdana Menteri itu.

Dakwa Nur Aida, perbincangan itu juga tidak disertai pegawai tinggi kerajaan walaupun kerajaan menanggung pinjaman dana dengan pengeluaran jaminan penuh.

Nur Aida yang sedang membaca kenyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mendakwa sepatutnya perbincangan government to government (G2G) itu perlu membabitkan saluran diplomatik yang sah bukan dilakukan atas kapal persiaran.

“Pelantikan Edward L Morse sebagai penilai aset PSI pula diragukan kerana Laporan Penilaian Aset PSI disediakan hanya dalam masa lapan hari sahaja.

“Aset dinilai adalah sangat besar iaitu lebih kurang AS$2.7 bilion sehingga AS$4.5 bilion. Datuk Najib juga telah arahkan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk tidak perlu membuat penilaian ke atas aset PSI dengan alasan ingin menjaga nama baik hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi dari segi politik dan reputasi.

“Manakala Pengerusi 1MDB ketika itu, Mohd Bakke Salleh mengikut arahan dan saranan mereka dalam beberapa tindakan dan keputusan berkaitan usaha sama dengan PSI,” katanya hari ini.

Nur Aida juga mendakwa banyak alasan telah diberikan konon untuk menjaga hubungan G2G antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Banyak keputusan dan kelulusan dibuat tidak menyebelahi 1MDB dan kerajaan Malaysia,” dakwanya.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette