SUNGAI BULOH – Seramai tiga remaja warga Myanmar disyaki dijadikan buruh kasar dan dipaksa tinggal di dalam bilik kecil yang kotor diselamatkan menerusi serbuan yang dilakukan polis ke atas sebuah kilang di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 2.30 petang itu, tiga remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun sedang meleraikan barangan elektronik untuk proses dikitar semula bersama 10 lelaki lain yang juga merupakan warga asing.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai baharu beberapa bulan bekerja di kilang tersebut dan siasatan mendapati mereka tinggal di sebuah bilik kecil yang disediakan majikan di bahagian belakang kilang tersebut.
Ketua Penolong Pengarah Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran – Atipsom (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai menerima gaji antara RM1,200 hingga RM1,300 sebulan.
Katanya, premis itu merupakan sebuah kilang kitar semula memproses barangan terpakai dan memiliki lesen perniagaan yang sah namun pemeriksaan mendapati ia sudah tamat tempoh.
“Hasil temubual awal terhadap mangsa buruh paksa dengan menggunakan penterjemah rakan senegara mendapati mereka bertiga tidak dibenarkan keluar dari kilang berkenaan serta dipaksa bekerja lebih masa selama 12 jam sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Serbuan tersebut turut disertai Pejabat Strategik Nasional Majlis Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran (NSO MAPO).
Menurut Soffian, kesemua mangsa diarahkan oleh majikan untuk bekerja bermula 9 pagi hingga 9 malam sebanyak enam hari seminggu.
Tambah beliau, siasatan mendapati pergerakan dalam kilang itu pantau majikan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Sementara itu, Soffian memberitahu, seorang warga India berusia 27 tahun yang disyaki berperanan sebagai penyelia di kilang tersebut merupakan antara individu yang ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 14 Akta ATIPSOM dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tangkapan yang dibuat di kilang kitar semula itu adalah terdiri daripada 10 lelaki iaitu pecahan dua warga Myanmar, lima warga Bangladesh dan tiga warga India untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – MalaysiaGazette