Norlizah Noh melawat PPS yang menempatkan mangsa banjir di kawasan Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Tidak ada sekolah menengah di negeri ini digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS), oleh itu
tiada keperluan untuk menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang dijadualkan Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan negeri, Norlizah Noh berkata, sembilan sekolah yang digunakan sebagai PPS di empat daerah adalah sekolah kebangsaan (SK).

Setakat ini sembilan PPS itu menempatkan lebih 1,046 mangsa banjir termasuk 235 pelajar sekolah.

Katanya tiada sekolah menengah digunakan sebagai PPS dalam bencana banjir kali ini.

“Kita mendoakan peperiksaan serta pengajaran dan pembelajaran (P&P) anak-anak negeri Johor ini dapat berjalan dengan baik dan sejahtera sepanjang musim Monsun Timur Laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 48,276 orang pelajar di Johor bakal menduduki SPM 2023.

Peperiksaan itu membabitkan 364 jumlah pusat peperiksaan dengan 4,205 jumlah petugas, 900 sukarelawan dan 112 penyelia kawasan.

Manakala seramai 8,831 pelajar akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan berlangsung 22 Januari sehingga 6 Februari membabitkan 75 jumlah pusat peperiksaan dengan 572 petugas peperiksaan. – MalaysiaGazette