KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mencabar pihak yang menuduhnya meminum arak dan memakan daging khinzir di pejabat untuk bersemuka dengannya.
Dalam satu kenyataan di Facebooknya, beliau menggesa mana-mana pihak supaya tidak berselindung di sebalik alam maya dengan menyebarkan fitnah serta khabar angin kononnya minuman alkohol dan khinzir dihidangkan dipejabatnya di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya.
“Saya mencabar pihak tersebut supaya segera tampil dan bersemuka dengan saya serta membuktikan dakwaan tersebut dalam tempoh dua minggu.
“Dalam masa sama, saya tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan fitnah seperti ini tidak berlanjutan dan berulang di masa hadapan,” katanya.
Beliau menjawab mesej tular yang mendakwa beliau minum arak dan makan daging khinzir di pejabat beliau di MOTAC.
Selain itu, mesej daripada individu yang pernah menjadi ‘mantan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan’ mendakwa perkara itu dimaklum oleh kakitangan MOTAC sendiri dan mengarahkan kakitangan beragama Islam mencuci pingan-pingan yang digunakan
Mengulas lanjut, menteri itu menegaskan, kakitangan MOTAC sentiasa menyemai semangat perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain dan antara keutamaannya sejak memimpin kementerian tersebut adalah memastikan persekitaran kerja yang harmoni dan memastikan pertumbuhan ekonomi negara berkembang dengan lancar seterusnya membolehkan agenda rakyat dilaksanakan.
King Sing berkata, beliau tiada pilihan selain mengeluarkan kenyataan ini sebagai menjawab mesej WhatsApp yang disebarkan secara meluas, yang menuduhnya minum dan makan daging khinzir di pejabat, dan terdapat alkohol yang disimpan di pejabat.
“Saya pelik, kenapa fitnah sebegini dimainkan? Tuduhan yang tidak berasas seperti ini mesti dikutuk sekeras-kerasnya. Saya selalu menghormati semua kumpulan etnik dan agama yang ada di Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
“Apa yang jelas, mereka sengaja memburukkan nama saya berhubung perkara ini dilihat cuba mencetuskan ketegangan kaum. Tidak keterlaluan saya katakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu adalah orang yang patut dilaknat kerana merosakkan keharmonian rakyat.
“Dengan kesibukan kerja dan jadual yang padat, saya sebenarnya tidak ada masa untuk melayan fitnah ini. Namun, disebabkan ia tular, maka saya perlu menjawabnya supaya orang ramai tidak terpedaya. Kandungan mesej tersebut bukan sahaja palsu, tetapi juga menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang secara jelas bertujuan mencetuskan kebencian. Malah, ia turut mencemarkan imej pentadbiran negara,” ujarnya.
Mendakwa penyebar fitnah itu sebagai pengecut kerana enggan mendedahkan nama, King Sing berkata, tuduhan ini secara tidak langsung memberi gambaran kononnya beliau seorang yang tidak menghormati penjawat awam dan mengaitkan kenyataan beliau sebelum ini mengenai pengharaman minuman keras di Kedah sebagai ‘peluru’.
“Tolong jangan cuba kelirukan rakyat dengan dua isu berbeza. Apa yang pasti, saya tidak tahu siapa yang sebarkan khabar angin ini,” tambahnya.
Menteri MOTAC itu mengakui sejak memegang jawatan itu, beliau mungkin ada menyinggung perasaan beberapa aorang yang mempunyai kepentingan diri dalam perkhidmatan awam atau industri kerana tidak mahu melakukan reformasi dalam aspeke tertentu.
“Tetapi saya tidak takut kerana yakin apa yang saya lakukan itu betul dan demi kepentingan negara serta rakyat walaupun terpaksa menyinggung perasaan orang lain.
“Saya tidak takut dan telah memaklumkan perkara ini kepada KSU, Timbalan Menteri MOTAC dan mendedahkan isu tak masuk akal ini dalam mesyuarat dalaman MOTAC.
“Saya tidak akan berkompromi untuk melakukan perkara yang betul,” katanya.
Oleh itu, beliau menggesa pihak yang berkenaan, yang membuat tuduhan ini untuk tampil dan memberi penjelasan sekiranya ada pihak yang cuba menyalahgunakan komen mana-mana penjawat awam.
Katanya, beliau secara jujur mahu mengatakan, setakat ini di pejabatnya tidak mempunyai tukang cuci.
Kebiasaannya, pinggan mangkuk akan dicuci oleh mereka yang menggunakannyaa manakala pinggan mangkuk yang digunakan oleh tetamu juga dibersihkan oleh kakitangan.
“Jadi sekali lagi saya ingin bertanya kepada penuduh, adakah dia benar-benar tahu perkara yang dituduhnya?
Oleh itu, beliau mengingatkan agar jangan sesiapa berani untuk bermain dengan api dan sengaja mewujudkan konflik perkauman serta kebencian demi kepentingan peribadi.
Jangan sesekali cuba musnahkan keharmonian di negara ini dan berharap kenyataannya dapat menjernihkan keadaan dan menghentikan segala khabar angin yang nyata jika tidak dikawal bakal menjadi ‘barah’ kepada negara. – MalaysiaGazette