KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) menafikan kenyataan pihaknya telah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Palsu,” jelas satu kenyataan daripada gabungan itu.

Kenyataan satu muka surat yang didakwa palsu itu menjelaskan PN sudah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah untuk menghadap.

“Perikatan Nasional menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memberi perkenaan mengadap kesemua 118 Ahli Parlimen bersama Akuan Bersumpah masing-masing.

“Perikatan Nasional merafak syukur kerana usaha untuk menyelamatkan negara mendapat ihsan DYMM Seri Paduka,” tulis kenyataan paslu berkenaan.

Kenyataan itu menggunakan nama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kepala surat PN.

Sebelun ini, timbul spekulasi “Langkah Dubai susulan perbincangan didakwa antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu ketika lawatan mereka ke Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan mereka kepada pembangkang dan membentuk kerajaan baharu.

Pemimpin kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menolak “Langkah Dubai” dengan berkata usaha menggulingkan Kerajaan Perpaduan membuang masa. – MalaysiaGazette