KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius kes salah laku buli yang tular di media sosial pada hari ini.
Menurutnya, KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Kes ini berada dalam perhatian dan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan ia dapat
diselesaikan segera.
KPM berkata, pihak telah mengambil langkah-langkah awal bagi menangani kes ini
berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Bawah KPM.
Ini termasuk dengan menghubungi ibu bapa/penjaga, menjalankan siasatan yang telus dan terperinci, memaklumkan kes kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua murid terlibat.
Pihak sekolah juga telah diminta untuk memastikan tindakan disiplin diambil ke atas murid yang bersalah dan salah laku berkenaan direkodkan.
Pada masa sama, KPM menyeru semua pihak termasuk media dan orang ramai untuk mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada dengan tidak menularkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam salah laku buli.
Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] memperuntukkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah tidak boleh didedahkan dan perlu dilindungi.
Oleh itu, katanya, kerjasama seluruh masyarakat juga diminta untuk tidak menormalisasikan salah laku buli.
KPM menyediakan empat saluran utama bagi membolehkan murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat aduan mengenai kes buli dan gangguan seksual menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, emel [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Hari ini tular video pergaduhan membabitkan dua pelajar di sebuah sekolah menengah di ibu negara.
Menerusi rakaman itu, seorang pelajar berpakaian sukan sebuah sekolah menengah dipercayai duduk di atas seorang pelajar yang lain di suatu kawasan belukar.
Pelajar lelaki itu bertindak memaki hamun rakan yang dibuli dan membuang sampah daun kering yang dikumpulkan ke atas mangsa. – MalaysiaGazette