Syed Abu Hussain Hafiz Syed Abdul Fasal bercakap kepada media ketika ditemui di Program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat di PPR Kerinchi. Foto SYADILA AMARI, 6 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Lapan lagi ahli Parlimen pembangkang didakwa akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula sesi Dewan Rakyat bulan depan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mereka tunggu Parlimen bersidang pada 28 Februari ini.

“Mereka tengah tunggu dan lihat apa akan berlaku sepanjang dua bulan ini,” kata Syed Abu Hussin Hafiz.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil ketika program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, pagi tadi.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata, kelapan-lapan Ahli Parlimen itu sanggup menunggu untuk menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Masih relevan mereka sanggup menunggu untuk isytihar (sokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Tujuh hingga lapan orang Ahli Parlimen tunggu masa,” katanya lagi.

Tahun lalu, lima Ahli Parlimen daripada pembangkang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette