Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang pesara guru lelaki di daerah ini mengalami kerugian sebanyak RM319,899 akibat terpedaya skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berminat dengan pelaburan berkenaan setelah dijanjikan keuntungan sebayak 10 hingga 20 peratus oleh suspek.

”Pada bulan Oktober 2023, mangsa seorang pesara, berumur 78 tahun telah melihat iklan pelaburan melalui laman Facebook dikenali OSK Trading Securities yang menjalankan perniagaan saham.

”Mangsa telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp bagi mendapatkan penjelasan dengan membuat  trading dalam platform yang disediakan dengan memperolehi keuntungan 10% hingga 20%.

”Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan yang ditawarkan dan pembayaran telah dilakukan secara berperingkat ke dalam empat akaun bank berbeza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun mangsa menyedari dirinya ditipu setelah mendapati laman sesawang tersebut tidak dapat berfungsi dan tidak memperolehi sebarang keuntungan dan modal.

Yahaya berkata, Polis Pahang mengambil tindakan proaktif yang mana Kempen Pencegahan Jenayah Komersil sentiasa dipertingkatkan untuk memberi pendedahan trend-trend terkini modus operandi secara berterusan khususnya melalui media sosial.

Polis menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud supaya tidak mudah terpengaruh dengan skim yang menjanjikan keuntungan yang lumayan. – MalaysiaGazette