KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil terkejut apabila beliau akan dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah yang diketahui hanya di laporan media.
Namun beliau akan meneliti permohonan Peguam Negara itu yang disifatkannya secara ex-parte (sebelah pihak).
“Pagi ini tiba-tiba keluar berita bahawa kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui Peguam Negara ingin memenjara saya atas kesalahan kononnya saya telah menghina mahkamah berkenaan kes Dato’ Sri Najib.
“Mengikut laporan akhbar mereka telah menghantar permohonan ini secara ex-parte ke mahkamah. Saya akan lihat permohonan ex-parte mereka ini. Salam.
“p/s: Saya dimaklumkan bahawa kerajaan PM Anwar ini sedang goyah dan goyang. Mungkin dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasa mereka akan tangkap dan penjara lebih ramai orang demi kepentingan politik mereka. Kali ini giliran saya. Saya akan lawan,” tulis di Facebook miliknya hari ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan, Peguam Negara telah mengemukakan permohonan secara ex-parte agar bekas Ketua Penerangan UMNO itu dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.
Permohonan yang difailkan pada 28 Disember lalu adalah susulan kenyataan Isham atau nama penuhnya Hizatul Isham Abdul Jalil pada satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?“.
Rakaman temu bual yang menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu disiarkan di laman media sosial facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL