MILAN – Davide Frattesi meletakkan Inter Milan lima mata di puncak Serie A awal pagi tadi dengan gol kemenangan saat akhir yang membolehkan pasukannya menang 2-1 ke atas Verona pada perlawanan yang menarik dan penuh kontroversi.
Frattesi, pemain tengah Itali, merembat masuk gol kemenangan susulan bola muntah pada minit ketiga masa kecederaan perlawanan di San Siro yang penuh dramatik.
Sambutan bergemuruh dalam kalangan penyokong hadir pada perlawanan yang awalnya kelihatan seperti kemenangan rutin buat Inter selepas Lautaro Martinez meledak masuk gol ke-16 buatnya musim ini pada minit ke-13.
Namun, semuanya berubah sebaik Thomas Henry menyamakan kedudukan pada minit ke-74 susulan hantaran lintang Ondrej Duda ketika Inter berusaha gigih untuk mencari kemenangan.
Frattesi menemui sasaran selepas penjaga gol Verona, Lorenzo Montipo menumbuk keluar percubaan Nicolo Barella.
Bagaimanapun, Verona tidak berpuas hati kerana menganggap gol Frattesi tidak patut disahkan selepas Bastoni dilihat menyiku muka Duda sebelum dia merembat voli yang menjurus kepada gol kemenangan.
Anak buah Simone Inzaghi bertuah kerana menang apabila Henry, yang terdahulu menjaringkan gol penyamaan Verona, gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10 masa kecederaan apabila tendangannya terkena palang.
Pencabar terdekat Inter, Juventus berkunjung ke Salernitana malam ini. – Agensi