IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis terhadap seorang blogger yang mendakwa beberapa ahli Parlimen pembangkang sedang berusaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menerusi Langkah Dubai.
Ketua AMK Perak Zaim Sidqi Zulkifly berkata, laporan polis berkenaan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada petang ini.
Menurutnya, isu berkenaan adalah serius kerana video-video yang diterbitkan beberapa tokoh politik berpengaruh telah mendapat reaksi ramai dan didorong spekulasi mengenai Kerajaan Perpaduan akan tumbang dalam masa terdekat.
“Kita yakin langkah-langkah yang sedang diatur bertujuan mengganggu kerajaan sedia ada serta melibatkan pihak yang tidak mahu menjadi mangsa siasatan beberapa kes rasuah yang sedang atau akan disiasat.
“Komplot ini jelas bertujuan mengancam kestabilan Kerajaan Perpaduan dan negara naungan Yang di-Pertuan Agong.
“Tindakan mereka boleh disimpulkan sebagai melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen hingga menimbulkan keresahan dan ketidaktenteraman awam,” katanya kepada media selepas membuat laporan di IPD Ipoh, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Zaim Sidqi meminta polis untuk menyiasat gerakan tersebut yang jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
“Cubaan jahat ini mesti digagalkan dan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen tidak terus menganggu keamanan dan keselamatan negara,” tegasnya.
Langkah Dubai yang kecoh sejak seminggu ini didakwa telah berjaya mengumpulkan 123 akuan sumpah (SD) daripada ahli Parlimen yang mendakwa sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar.
Kumpulan yang didakwa terlibat dengan Langkah Dubai itu juga sudah mencadangkan tiga orang calon perdana menteri baharu untuk dipertimbangkan oleh YPDA.
Calon yang dicadangkan mereka ialah, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – MalaysiaGazette
Langkah DUBAI…. Hairan juga MP MP dan Ketua Bahagian UMNO serta Pemuda Wanita dan Puteri berdiam diri. Apakah Bahagian Bahagian UMNO mahu “MELANGKAH” ZAHID HAMIDI?