Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, yang dikenali dengan Red Team membuat rondaan di bandar Kota Tinggi bagi memastikan tiada penduduk yang terperangkap tanpa menerima bantuan.

KOTA TINGGI – Ada mangsa banjir di sini yang masih berdegil dan enggan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menjadi cabaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kota Tinggi.

Ketua Zon Dua JBPM Johor, Penguasa Bomba Rasidi Md Yunus berkata, sikap mangsa banjir menyukarkan operasi pihakya selain cabaran jarak penglihatan terhad serta arus deras.

“Ini semua cabaran kita, adakala kita masuk kawasan premis  untuk memastikan supaya tidak ada penduduk yang terperangkap.

“Namun ada yang tidak mahu keluar dan enggan mengikut arahan,” katanya selepas mengadakan tinjauan banjir di sini hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di bandar Kota Tinggi mendapati dakwaan itu ada benarnya apabila masih ada penduduk yang terjejas banjir enggan keluar dari premis mereka walaupun sudah dinaiki air.

Terdahulu Rasidi berkata, seramai 30 anggotanya digerakkan bersama tujuh aset melibatkan bot penyelamat dan kenderaan untuk operasi menyelamat dan memindahkan penduduk terjejas banjir ke PPS.

Menurutnya, secara keseluruhan, operasi menyelamat dan memindahkan penduduk berjalan lancar dan diselaras bersama-sama jawatankuasa bencana daerah.

“Keadaan pemantauan pasukan penyelamat khususnya bomba di kawasan Kota Tinggi kali ini adalah lancar dan terkawal. Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Untuk makluman pihak pasukan penyelamat kita kerap melakukan rondaan dan memberikan nasihat kepada penduduk di kawasan berisiko banjir,” kata Rasidi.

Empat jalan di tiga daerah iaitu Kota tinggi, Johor Bahru dan Segamat terputus hubungan dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan akibat bencana yang melanda negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataannya berkata, laluan terbabit melibatkan Jalan Kota Tinggi-Kluang dan Jalan Tai Hong, Taman Scientex di Kota Tinggi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast