ALOR GAJAH – Mayat wanita tanpa kepala, kaki dan tangan yang ditemui di dalam tong sampah dan dibuang di longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang di sini dua minggu lalu bukan Mira Sharmila Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dibuat mengesahkan mangsa dianggarkan berusia 20 an hingga 30 an bukan Bella yang dipercayai hilang di Batu Pahat, Johor pada 16 Disember lalu.
“Perbandingan sampel DNA bersangkut laporan kes Bella di Batu Pahat dan Gemencheh telah dijalankan menerusi ahli keluarganya namun ianya tidak sepadan.
“Spesimen DNA tersebut juga turut dihantar ke Bahagian D13 (Data Bank/ DNA), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman untuk dibuat semakan dengan kes-kes lain yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Kehilangan Bella: Beri ruang polis jalankan siasatan
Tambahnya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan identiti s imati dan orang ramai yang mempunyai maklumat dipohon untuk tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian 06-556 2222.
Sabtu lalu, MalaysiaGazette melaporkan penemuan mayat berkenaan dalam keadaan tragis tanpa pakaian.
Mayat dipercayai dibunuh antara tujuh hingga 10 hari berdasarkan darah dan mayat yang sudah mulai reput sebelum ditemui orang awam pukul 2 petang 31 Disember lalu.
Polis juga sedang mengesan lagi bahagian kepala, kaki dan tangan yang tidak ditemui pada mayat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga terdekat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.
Sebelum ini, media melaporkan, Bella yang mempunyai dua anak berusia dua dan empat tahun dilaporkan hilang selepas didakwa keluar bersama teman lelakinya ke sebuah kedai dobi di daerah ini dengan laporan polis dibuat ahli keluarganya pada 16 Disember lalu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Mayat wanita bogel tanpa kepala, kaki, tangan ditemui dalam tong sampah