Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (kanan) menunjukkan laporan polis mengenai dalang-dalang yang melakukan Langkah Dubai di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis agar pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadap gerakan ‘Langkah Dubai’ bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu berkata, laporan itu juga bagi menamatkan spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan rakyat serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur.

Tambah beliau, sebanyak 12 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung gerakan tersebut pada hari ini.

“Saya ambil pendirian ini untuk membuat laporan supaya siasatan dan tindakan boleh dilakukan sebab selama ini kita berdiam sejak tahun lepas.

“Apabila nampaknya (Langkah Dubai) mula mengusai media sosial dan persepsi rakyat, saya fikir perlu ditamatkan segera. Saya harap selepas ini dengan puluhan laporan dibuat tentunya menjadi perhatian pihak polis,” katanya pada pemberita.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap dalang-dalang yang melakukan Langkah Dubai di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

Terdahulu, beliau hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.

Tambah Shamsul Iskandar, pendedahan terbaru yang dibuat oleh penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamaruddin jelas membuktikan wujud gerakan bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kerajaan meskipun mereka sedar ia tindakan sia-sia.

“Gerakan ini jelas satu tindakan tidak bertanggungjawab, malah sia-sia kerana Akta Anti Lompat Parti yang telah pun diluluskan, menghalang sebarang usaha menukar Perdana Menteri dan kerajaan di pertengahan pentadbiran.

“Saya yakin, gerakan ini telah dimulakan oleh beberapa orang Ahli Parlimen termasuk pimpinan pembangkang yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan mereka hakikatnya boleh memudaratkan demokrasi berparlimen,menimbulkan keresahan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam.

“Cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti digagalkan,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, tindakan seperti gerakan ‘Langkah Dubai’ tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku.

“Kita mempunyai Akta Anti Lompat Parti yang telah digubal untuk menghalang tindakan situasi seperti ini berlaku dengan perubahan Perdana Menteri.

“Kalau betul ada rasa ketidakpuasan begitu, sewajarnya dibawa ke Parlimen. Tidak perlu untuk buat cerita yang meresahkan rakyat di negara ini,” tegasnya.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap dalang-dalang yang melakukan Langkah Dubai di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

Shamsul Iskandar memberitahu, 12 laporan tersebut dibuat di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Sabah, Sarawak termasuk Putrajaya.

Ditanya sama ada beliau menamakan pembabitan Ahli Parlimen dalam laporan itu, Shamsul Iskandar tidak mendedahkan namun yakin perkara itu akan disoal ketika siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan menerima laporan berkenaan dan akan menyiasat perkara tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Peruntukan akta apa dan perlembagaan mana yang menghalang MP memilih ganti Perdana Menteri yang tidak dibolehkan?

Comments are closed.