Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bas ekspress yang tidak sempat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal di Indera Sempurna petang tadi.

KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun bersama ibunya nyaris maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah bas ekspres, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku di hadapan Pasaraya LYC di Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran kawasan Indera Sempurna, di sini, kira-kira pukul 1 tengah hari.

Beliau berkata, bas ekspres dari arah Terengganu menghala ke Johor tidak membawa penumpang.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, semasa bas itu bergerak lurus di lorong kanan, motosikal ditunggang suri rumah itu keluar dari simpang sebelah kiri terus mengubah ke lorong kanan dan masuk ke laluan bas.

“Disebabkan sudah terlalu dekat, pemandu bas itu gagal mengelak dan telah melanggar motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

Ekoran rempuhan terbabit, kanak-kanak lelaki itu tercampak daripada motosikal dan telah mengalami luka di bahagian tangan, badan dan kepala dan kini dirawat di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Manakala ibunya, Junaidah Hussain, 43, yang juga dirawat di hospital sama luka di bahagian tangan, lutut dan kaki.

Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca dari penunggang motosikal yang telah mengubah lorong tanpa memastikan keadaan selamat terlebih dahulu hingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Kes disiasat dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Hari ini tular di laman Facebook, klip video rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) berdurasi 1 minit 21 saat memaparkan kejadian terbabit.

Dalam klip video itu, seorang wanita yang menunggang motosikal dilihat menukar laluan daripada kiri ke laluan paling kanan dan dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan lain.

Ia mengakibatkan wanita itu dan seorang kanak-kanak yang ditempatkan dalam bakul hadapan motosikal itu tercampak di jalan raya. – MalaysiaGazette