Foto yang dikongsi di Media sosial Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Seri Paduka Baginda juga bertitah agar beliau meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri untuk menguruskan negara.

“Hari ini seperti kelazimannya saya menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet esok dan turut mengulas beberapa perkembangan semasa.

“Baginda juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerja mengurus negara. Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

“Saya juga menambah seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara. Daulat Tuanku!” kata Anwar.

Kenyataan itu dikongsi Perdana Menteri di media sosial hari ini.-MalaysiaGazette