SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri tidak akan melayani majikan yang gagal membuat verifikasi atau pengesahan pekerja warga asing setelah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 berakhir pada 31 Mac ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah memberi peluang kepada majikan mendaftarkan pekerja asing yang mempunyai pas lawatan kerja sah namun telah tamat tempoh untuk diambil bekerja.
“Kegagalan majikan untuk datang bersama dengan pekerja warga asing untuk membuat verifikasi selepas tarikh ini, tidak akan lagi dilayan.
“Pada saat itu, kita akan mengguna pakai beberapa undang-undang yang akan dikenakan seperti Seksyen 55b Akta Imigresen 1959 atau Seksyen 55e atau Seksyen 56 (1)(d).
“Seksyen ini akan mengenakan jumlah kompaun atau kesalahan yang boleh membawa kepada penjara dan sebagainya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di Kompleks PKNS, di sini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, majikan perlu membawa pekerja untuk melakukan proses verifikasi secara fizikal bagi memastikan syarikat itu sah dan warga asing yang bakal diambil bekerja wujud.
“Selesai tutup (daftar pekerja), majikan mesti melakukan proses verifikasi dan mereka mesti datang ke pejabat Imigresen berserta dengan pekerja.
“JIM akan melihat majikan itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat, manakala pekerja itu betul-betul wujud, mereka kena datang secara fizikal,” katanya.
Selain itu, JIM akan merekodkan maklumat peribadi pekerja warga asing itu termasuk cap jari ke dalam sistem biometrik agensi pelaksana itu.
“Pekerja itu kita minta datang kerana kita ada sistem cap jari, sistem biometrik ini penting sebab kita boleh mengesan sama ada mereka itu pernah datang di sini.
“Kalau pernah datang maknanya mereka dalam kategori lebih tinggal dan kemudian kita akan mengadakan proses rekalibrasi,” katanya. – MalaysiaGazette