Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada Sidang Media Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Pejabat Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 09 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan memandang serius dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) telah menyediakan dana sejumlah RM1 bilion untuk memberi rasuah kepada Ahli Parlimen kerajaan agar menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

Jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan dibawa masuk ke mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung esok.

“Saya percaya isu itu dalam siasatan pihak berkuasa dan saya tidak boleh berikan komen cuma saya ambil maklum sidang media dan laporan polis yang dibuat Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, dan memandangkan serius perkara ini.

“Saya perlukan maklumat tambahan dan esok dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet saya akan beri sedikit ulasan,” katanya dalam sidang media ujian kualiti perkhidmatan selular panggilan suara di kementeriannya, hari ini.

Fahmi berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan seorang pemimpin PN terbabit dalam cubaan merasuah individu berpengaruh dan Ahli Parlimen untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Azman berkata, dakwaan itu yang disiarkan sebuah blog mendakwa pemimpin PN yang juga seorang Ahli Parlimen, telah menyediakan dana sejumlah RM1 bilion untuk memberi rasuah kepada Ahli Parlimen kerajaan agar menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

Sebelum ini, spekulasi muncul mengenai “Langkah Dubai” yang merujuk kepada perbincangan yang didakwa berlaku di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Dalam pada itu, Fahmi turut ditanya mengenai kenyataan cadangan pelakon popular Datuk Rosyam Nor supaya rumah pelacuran dibuka khusus untuk pekerja asing, beliau berkata, cadangan itu tidak relevan malah tidak dibenarkan undang-undang.

“Saya setuju pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bahawa kita tidak boleh layan cadangan itu.

“Saya rasa ini kekhilafan dalam pandangan di pihak Datuk Rosyam. Ikutkan undang-undang di Malaysia tidak dibenarkan,” katanya.

Awal hari ini, Mohd Na’im berkata, cadangan Rosyam supaya rumah pelacuran dibuka khusus untuk pekerja asing, sambil menambah ia tidak boleh diterima sama sekali dan wajar ditolak oleh semua pihak.

Dalam mencari penyelesaian, tegasnya, kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan lain, sambil menambah saranan Rosyam itu jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah malah melanggar prinsip ajaran Islam.

Mohd Na’im berkata, pelacuran adalah kesalahan di bawah Seksyen 372, 372A, 372B dan 373 Kanun Keseksaan selain Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah- wilayah Persekutuan) 1997.

Sebelum ini, Rosyam mencadangkan agar rumah pelacuran yang khusus untuk pekerja asing di negara ini diwujudkan sebagai langkah mengekang jenayah rogol.

Pelakon KL Menjerit itu mendakwa warga asing terbabit berada berjauhan dengan isteri masing-masing namun pada masa sama masih mempunyai nafsu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Fahmi kena siasat Azman kenyataan RM 1b itu adakah sahih? Siasat Azman dan laporkan kepada polis jika dia menyebarkan maklumat tidak benar dari sumber tidak pasti. Fahmi jangan bertindak menimbulkan kerisauan rakyat dan tidak perlu cari beban otak. Serah pada polis pihak berkuasa yang akan berkerja.

Comments are closed.