Fozia Amanulla (dua dari kiri) akan memimpin Boost Bank.

KUALA LUMPUR – Boost, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau, dan rakan konsortiumnya, RHB Banking Group (RHB), menerima kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk memulakan operasi sebagai bank digital, berkuatkuasa mulai 15 Januari 2024.

Konsortium Bank Digital Boost-RHB menerima kelulusan kawal selia lebih awal dari jadual, selepas melalui audit kesediaan operasi menyeluruh yang disahkan oleh BNM.

Selepas berjaya mempamerkan infrastruktur asas yang teguh dan berdaya tahan bagi bank digital tersebut, kini secara rasminya dikenali sebagai Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank), konsortium ini akan beralih ke fasa ujian alfa yang melibatkan pekerja, keluarga, rakan, dan kumpulan pelanggan terpilih.

Menjelang pelancaran awam rasmi, bank digital ini akan mempertingkatkan proposisi produknya secara progresif dan memperhalusi pengalaman pengguna bagi membuka jalan kepada era baharu kewangan terbenam demi memenuhi pelbagai keperluan semua rakyat Malaysia.

Menerajui pasukan bank digital ini ialah Fozia Amanulla, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Boost Bank.

Beliau akan mengetuai pasukan bank digital yang berpengalaman, merangkumi kepakaran merentasi teknologi, keselamatan maklumat, produk, risiko & pematuhan, dan banyak lagi – memanfaatkan bakat fintech daripada Boost, kepakaran perbankan daripada RHB, serta keupayaan baharu daripada industri yang lebih meluas.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, kelulusan yang diterima adalah pencapaian penting dalam komitmen bank bersama Boost untuk mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih inklusif, terutamanya untuk perniagaan dan individu yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan di Malaysia.

“Di bawah kepimpinan Fozia Amanulla dan pasukan perbankan digital yang berpengalaman, kami yakin Boost Bank bersedia untuk menerajui landskap teknologi kewangan digital. Bersama-sama, kami akan merealisasikan kemajuan bagi semua, untuk memastikan ekosistem kewangan yang teguh dan inklusif yang bakal memberi manfaat kepada semua dalam komuniti kami,” katanya.

Konsortium Bank Digital Boost-RHB yang mana Boost menguasai 60% ekuiti dan baki 40% dikuasai RHB, adalah antara 5 pemohon lesen yang berjaya diumumkan oleh BNM pada April 2022.

Apabila konsortium ini memulakan operasinya secara berperingkat berikutan penyelesaian audit kesediaan operasi, Malaysia akan meraih manfaat daripada keterangkuman kewangan yang lebih besar. – MalaysiaGazette