Armizan Mohd Ali

PELABUHAN KLANG – Projek rintis perluasan pemberian kuota diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat barangan melalui sistem kawalan diesel bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bermula 1 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak enam syarikat perintis menerima kuota melalui saluran fleet card.

“Projek Rintis akan dijalankan dengan melibatkan enam syarikat pengangkutan barangan, yang mana kuota skid tank mereka akan luput pada Januari ini.

“Antaranya Perceptive Logistic Sdn. Bhd; Multimodal Freight Sdn. Bhd; Mun Chuen Transport Sdn. Bhd; Tan Swee Hee Sdn. Bhd; Sim Yew Enterprise Sdn. Bhd dan Rantau Panjang Haulage Sdn. Bhd,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke Syarikat Perceptive Logistics Sdn. Bhd. bagi meninjau persiapan pelaksanaan secara rintis SKDS 2.0 oleh pihak syarikat di bawah sektor pengangkutan darat (barangan).

Beliau juga berkata, kuota diesel bersubsidi SKDS ini diberikan melalui dua saluran iaitu saluran fleet card Sistem MySubsidi Diesel KPDN dan Saluran Skid Tank di mana permohonan dan pemprosesan secara manual.

“Pada ketika ini, hanya sektor pengangkutan darat (awam) menggunakan saluran fleet card.

“Sektor pengangkutan darat (awam) paling banyak menerima kuota SKDS iaitu sebanyak 67 peratus,” katanya.

Menurutnya, kerajaan menerusi SKDS 2.0 akan melaksanakan pemberian kuota diesel bersubsidi kepada empat sektor pengangkutan terpilih sahaja.

“Antaranya sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat (barangan), sektor bot penumpang sungai dan sektor feri/bot ke pulau-pulau utama.

“Manakala tiga sektor lain termasuk sektor barangan (29 peratus) masih menggunakan saluran skid tank,” katanya.

Selain itu, susulan pelaksanaan SKDS 2.0, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berusaha untuk menangani isu risiko impak kenaikan kos logistik dibebani oleh rakyat.

“Kerajaan bersetuju meluaskan pemberian subsidi dengan kadar khas, sebagaimana sektor pengangkutan darat (awam), kepada sektor barangan melalui pelaksanaan Program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

“Ini bermaksud apabila penyasaran semula subsidi diesel dilaksanakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak bagi Semenanjung Malaysia, pemberian kuota diesel bersubsidi akan turut dimanfaat oleh sektor barangan.

“Antara sektor barangan yang terlibat ialah lori kargo am; lori luton/kotak; lori tangki air; lori minuman botol; penggerak utama; panel van; iori refrigerated; lori tangki tepung, dan window van,” katanya lagi. – MalaysiaGazette