Datuk Rosyam Nor
Datuk Rosyam Nor.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor tampil memohon maaf berkaitan cadangannya supaya satu pusat pelacuran diwujudkan bagi mengekang jenayah rogol dalam kalangan pekerja asing.

Melalui kenyataan yang disiarkan di Instagramnya, Rosyam tidak menyangka kenyataan itu akan menjadi tular dan mencetuskan kecelaruan.

“Kecoh satu dua hari ini pasal isu rumah pelacuran kononnya aku ada buat kenyataan. Apa-apa hal pun saya minta maaf dulu sebab tak sangka benda ini akan jadi viral yang besar.

“Tapi itu sebenarnya adalah promo untuk program podcast aku dekat Suhan Channel yang tajuk dia adalah Otak Prono . Itu adalah perbincangan, jadi saya rasa baik semua orang kalau ada masa pergi tengok keseluruhan video apa yang dibincangkan.

“Terima kasih kerana peka dengan keadaan, sekali lagi saya minta maaf atas kecelaruan yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Rosyam menerusi podcast atau audio siar, Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel menyifatkan pusat pelacuran perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri di negara mereka.

“Dia tengok anak bini kita, anak dara kita lalu. Silap-silap, dia rogol anak dara kita. Dia boleh jadi sampai ke tahap itu sebab benda inikan bermain dengan (fikiran).

“Mereka pun duduk di sini, malam-malam tak ada kerja, tengok benda sama juga. Tengok porno juga. Jadi, bila ada rumah pelacuran itu, sekurang-kurangnya mereka pergi bayar di sana,” katanya.

Bagaimanapun, Rosyam menegaskan, itu hanya pandangan peribadinya dan meminta penonton untuk menilai sendiri.

Kenyataan beliau mendapat reaksi banyak pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang berkata, cadangan itu juga bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah.

“Berdasarkan kedudukan ini, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang diutarakan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.

“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan. Kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain,” tegas Mohd. Naim.

Justeru beliau menasihatkan umat Islam agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam. – MalaysiaGazette