Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Besar sebuah negeri di utara tanah air bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan sebuah persatuan bola sepak.

Menurut sumber, siasatan membabitkan kes rasuah ini dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di Kerajaan Negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek-projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

“Namun, selepas kontraktor-kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit,” katanya.

Sumber berkata, kontraktor yang merasakan ditipu itu membuat laporan kepada SPRM atas penawaran projek yang dijanjikan kepada mereka oleh individu berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan bahawa SPRM akan memanggil Menteri Besar negeri berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut. – MalaysiaGazette