PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil keputusan mengekalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di bawah Kementerian Komunikasi, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
Bagaimanapun beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Digital Nasional Bhd (DNB) yang merupakan syarikat tunggal mengendalikan agenda 5G negara ini dipindahkan ke Komunikasi Digital.
Turut dipindahkan ke kementerian yang diterajui Gobind Deo Singh itu adalah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Cybersecurity Malaysia.
Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini susulan rombakan Kabinet dan perubahan fungsi beberapa kementerian pada bulan lalu.
“Hari ini Jemaah Menteri turut membincangkan tentang agihan agensi-agensi ke kementerian terutama setelah dibentuk Kementerian dan ada beberapa agensi telah dipindahkan.
“Sukacita saya maklumkan beberapa keputusan telah diambil hari ini, MCMC kekal bersama Kementerian Komunikasi, MAMPU, MDEC, DNB, Cybersecurity Malaysia dipindahkan Kementerian Digital.
“Sebelum ini, Cybersecurity dimaklumkan diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) tetapi Perdana Menteri telah setuju aspek korporat kerja-kerja berkaitan syarikat swasta diboleh teruskan dan sesuai diletakkan di bawah Kementerian Digital cuma perlu ada sedikit penjenamaan agar tidak perlu salah faham aspek keselamatan siber,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang Pasca Mesyuarat Kabinet di kementerianm di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MIMOS Berhad yang dipindahkan ke Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini kembali ke JPM.
“Berkenaan dengan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) ada perbincangan yang akan diadakan selepas Menteri Perpaduan Negara dapat maklum balas orang ramai dan juga pihak berkepentingan dan Perdana Menteri setuju untuk bincang semula dan untuk MITRA, akan dibincangkan kemudian,” katanya.
Pada masa sama, Fahmi memberitahu, kerajaaan akan mengumumkan peralihan daripada satu rangkaian borong kepada dwirangkaian dalam tempoh sebulan susulan negara kini sudah mencapai liputan kawasan berpenduduk (CoPA) 5G lebih 80 peratus.