GAZA CITY – Israel berusaha untuk menutup jenayah yang dilakukan di Gaza daripada masyarakat dunia dengan membunuh wartawan dan pengamal media yang kini dikepung oleh tentera zionis di wilayah Palestin itu.
Pada Rabu, askar zionis membunuh tiga lagi wartawan yang juga penduduk Gaza menjadikan jumlah kematian kepada 115.
Satu kenyataan oleh pejabat media mengenal pasti wartawan yang terbunuh sebagai Ahmed Badir, Sherif Okasha, dan Heba Al-Abadla, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Kenyataan awal berkata, Badir terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah bersebelahan dengan Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza.
Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan cedera dalam serangan itu.
Sebelum itu sorang lagi wartawan Heba al-Abadla terbunuh pada hari Selasa dalam serangan udara Israel ke atas rumahnya di Khan Younis, bersama anak perempuannya, ibu, dan bapa saudara sebelah ibunya, lapor Pusat Maklumat Palestin.
Kira-kira 55 orang terbunuh dalam serangan itu secara keseluruhan, tambahnya.
Pembunuhan Abadla berlaku hanya dua hari selepas wartawan dari saluran berita pan-Arab Al Jazeera maut dalam serangan yang disasarkan Israel ke atas sebuah kereta di Rafah, selatan Gaza.
Wartawan Mustafa Abu Thuraya dan Hamza al-Dahdouh, anak kepada ketua biro Gaza Al Jazeera, Wael al-Dahdouh, terbunuh dalam serangan itu.
Wael al-Dahdouh telah kehilangan beberapa ahli keluarga terdekatnya akibat serangan Israel, dan dirinya sendiri cedera dalam serangan itu bulan lalu.
Laporan kematian Abadla datang ketika Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengesahkan ia akan menjalankan siasatan terhadap potensi jenayah terhadap wartawan di Gaza.-Agensi