KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengaitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dengan insiden kebakaran di rumahnya disifatkan sebagai sangat tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, urusan agama Islam tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan.
“Kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan. Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tiga buah kereta milik Koo Ham musnah dalam kebakaran di rumahnya di Ayer Tawar, Perak dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu mengesyaki perbuatan khianat itu adalah berpunca daripada kenyataan yang dibuatnya pada 28 Disember lalu.
Dalam kenyataan itu, beliau mencadangkan pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Hamzah menambah, perbuatan khianat pihak tertentu melemparkan bom botol ke kediaman Koo Ham itu tidak boleh diterima sama sekali dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.
Beliau memberitahu, polis perlu segera memburu dalang sebenar di sebalik kejadian khianat itu kerana perbuatan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang malah mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni.
“Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kejadian sebegini agar berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan, apatah lagi jika ia menyentuh hal-hal sensitif.
“Kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” jelasnya. – MalaysiaGazette