Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Seorang peniaga runcit terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM922,300.87 lesap ditipu ‘Sarjan Tan’ pada bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku apabila mangsa lelaki berusia 50-an menerima panggilan telefon daripada seorang suspek menyamar anggota polis dari Perak, Disember lalu.

“Suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Tan’ mendakwa akaun bank mangsa telah digunakan dalam aktiviti penipuan oleh pengurus sebuah bank yang telah berhenti kerja.

“Mangsa menafikan terlibat dalam kes tersebut dan suspek telah meminta mangsa menuruti arahannya sekiranya tidak mahu ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek telah meminta mangsa meninggalkan kad bank ATM beserta nombor pin tanpa perlu berjumpa dengannya di satu lokasi di Simpang Ampat di sini pada 20 Disember lalu.

“Kemudian pada 3 Januari lalu, mangsa telah diarahkan membuka cek bank atas nama syarikat suspek berjumlah RM420,000 dan memasukkannya ke dalam mesin cek sebuah bank di daerah itu.

“Selasa lalu, mangsa membuat semakan akaun bank dan terkejut apabila mendapati terdapat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun yang tidak dikenali berjumlah RM502,300.87 antara 21 Disember hingga Isnin lalu,” katanya.

Arshad berkata, peniaga itu sekali lagi dihubungi suspek Selasa lalu dan memintanya membuat transaksi pemindahan wang namun tidak mengendahkannya kerana sedar ditipu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast