Keadaan Proton Saga yang remuk apabila dilanggar sebuah Perodua Myvi sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori menyebabkan pemandu warga emas maut di tempat kejadian di Jalan Hutan Simpan Masjid Tanah, Alor Gajah Melaka, 11 pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang warga emas maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa, Yahya Mohd Talip, 70, maut di lokasi akibat kecederaan di seluruh anggota badan.

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga ketika itu dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah.

Keadaan Proton Saga yang remuk apabila dilanggar sebuah Perodua Myvi sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori menyebabkan pemandu warga emas maut di tempat kejadian di Jalan Hutan Simpan Masjid Tanah, Alor Gajah Melaka, 11 pagi tadi.

“Setibanya di lokasi, sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 30 tahun membawa tiga penumpang, dipercayai telah mengekori rapat kereta mangsa dan tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kenderaan itu.

“Ia mengakibatkan Proton Saga memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 28 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

“Pemandu pemandu Myvi itu mengalami luka di bibir manakala yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua kenderaan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.

Terdahulu, nahas itu tular di media sosial menerusi rakaman video termasuk kamera papan pemuka kenderaan berat terbabit. – MalaysiaGazette.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast