Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menempelak tindakan berdiam diri Dewan Ulama Pas berhubung isu pengarah pilihan raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berkaraoke dengan wanita bukan mahram pada lewat malam.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sikap itu dilihat canggung kerana boleh dilihat menjadi pak sanggup untuk membela dan menghalalkan perbuatan tersebut.

“Dewan Ulamak Pas adalah sayap politik, jawapannya tak semesti pandangan agama apatah lagi mewajarkan Sanusi karaoke dengan wanita dalam Tiktok pukul 2 pagi sebagai kerja dakwah.

“Betulkah dakwah atau aksi politik? Dah jadi pak sanggup ka DUPP?, soal Mujahid.

Mujahid berkata, Sanusi perlu menjelaskan sendiri adakah tindakannya berkaraoke pada jam 2 pagi itu adalah satu pendekatan dakwah atau hanya untuk melebarkan pengaruh politiknya kepada orang ramai.

Malah Senator Dewan Negara itu juga mempersoalkan adakah tindakan Sanusi berkaraoke dengan wanita-wanita ajnabi boleh menarik lebih ramai untuk mengenali Islam.

“Jadi maknanya, dakwah (Sanusi) ini ialah berkaraoke dengan seorang wanita pada pukul 2 pagi, supaya orang tengok ‘oh ini parti Islam’.

“Beginilah… dakwah itu betul ke dirancang sebegitu rupa (berkaraoke) sebagai strategi mendekatkan orang dengan Islam atau sekadar meluaskan pengaruh politik Pas.

“Janganlah Dewan Ulama Pas jadi pak sanggup. Orang buat yang tak elok, kamu buat nampak elok. Kalau dia memang dirancang, kenalah buat betul-betul perancangan itu. Pastikan dakwah itu sampai iaitu dakwah Islam. Bukan dakwah Pas,” katanya lagi.

Sanusi dikecam orang ramai, baru-baru ini selepas sibuk bersiaran langsung di akaun TikTok miliknya.

Dalam siaran langsung tersebut, Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu ‘ralik’ berkaraoke dengan seorang perempuan sehingga pukul 2 pagi.

Sebelum ini, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil menasihatkan Sanusi berhenti berkaraoke dengan bukan mahram.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Sanusi, perlu berhenti berkaraoke di waktu tengah malam dan fokus kepada aktiviti mentadbir negeri Kedah. – MalaysiaGazette