KUALA LUMPUR – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah, itu yang terjadi kepada dua lelaki yang aktif dalam kegiatan samun berkumpulan di ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di ibu negara dan Perak.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kedua-dua suspek berusia 38 tahun itu ditangkap secara berasingan berasingan di Perak dan Pahang baru-baru ini.
Kata Ahmad Sukarno, pihaknya memburu suspek selepas aduan berkaitan mereka diterima pada 28 Disember lepas.
Aduan dibuat seorang lelaki berusia 30 tahun berkaitan kejadian samun yang mendatangkan kecederaan di ruang mesin ATM di sebuah bank di Kepong.
“Insiden pada 27 Disember lepas apabila pengadu yang bertugas di dalam kawasan ruang mesin ATM menegur suspek yang memakai topi keledar ketika memasuki premis bank. Tiba-tiba suspek keluarkan pisau.
“Ada berlaku pergelutan sehingga menyebabkan pengadu cedera selepas dipukul di kepala dengan hulu pisau.
“Selepas itu pengadu diminta diam sebelum suspek merompak tiga lelaki tempatan yang ketika itu berada di ATM tersebut sebelum melarikan diri dengan bonceng motorsikal di luar bank itu,” katanya pada sidang media.
Tambah beliau, pengadu terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur susulan rompakan pada malam tersebut.
“Susulan aduan berkenaan, kita berjaya menahan kedua-dua suspek di kediaman mereka di Perak dan Pahang. Dalam serbuan tersebut, antara barang rampasan termasuklah empat telefon bimbit, dua pasang pakaian yang dipakai ketika kejadian, dua topi keledar, sebuah motosikal serta sebilah pisau.
“Suspek juga mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan samun dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan,” ujarnya.
Ahmad Sukarno berkata, dengan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan enam kes di Kuala Lumpur dan 28 kes di Perak. – MalaysiaGazette