KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan kewajaran kerajaan tidak menguatkuasakan larangan jualan minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, situasi itu memberi tekanan kepada bekalan minyak masak paket bersubsidi kerana ia sepatutnya disasarkan kepada golongan B40 dan sebahagian golongan M40 yang terdiri daripada 5.8 juta isi rumah yang layak.
Menurut beliau, data yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada suku keempat 2023 menunjukkan kuota pengeluaran minyak masak peket bersubsidi adalah 60,000 tan metrik sebulan sekali gus mencukupi untuk keperluan rakyat tempatan.
“Masalah timbul apabila minyak masak peket bersubsidi ini turut dijual kepada warga asing sama seperti seperti rakyat Malaysia dengan hanya tetapan pembelian di pasar raya besar sebanyak tiga peket maksimum bagi setiap keluarga.
“Walau bagaimanapun, situasi sebenar adalah seorang warga asing boleh membeli dua peket dan mereka pula tinggal serumah dengan bilangan yang ramai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini, tiada mekanisme untuk menguatkuasakan larangan tersebut sekali gus mewujudkan keperluan untuk melakukan reformasi penyaluran subsidi di negara ini.
Khairil Nizam yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas memberitahu, dengan unjuran data jumlah pekerja asing sehingga 30 September lalu berjumlah lebih 2.7 juta orang, sudah tentu ia memberi tekanan kepada bekalan minyak masak bersubsidi.
Beliau berkata, ia ditambah lagi dengan ketirisan penjualan minyak bersubsidi sememangnya dalam audit kementerian.
“Ia lebih diburukkan lagi dengan situasi di mana ada restoran yang membeli secara pukal dan menyorok minyak masak peket sehingga ketiadaaan bekalan seperti yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri,” jelasnya.
Sehubungan itu, Khairul Nizam berkata, Pas menggesa kerajaan mewujudkan mekanisme yang adil dan telus agar penggunaan subsidi menjadi lebih bersasar, wajar dan adil serta mengutamakan kebajikan rakyat untuk menangani kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
“Pas juga menggesa Kerajaan Madani membentangkan laporan audit kepada Parlimen oleh KPDN yang sedang mengaudit jualan bekalan itu bermula dari peringkat pengilang dan pembungkusan semula bagi mengesan ketirisan dan penyelewengan dalam pemberian subsidi,” katanya. – MalaysiaGazette