Akmal Saleh
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan Netflix menghentikan siaran dokumentari berjudul Man on the Run.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, dokumentari tersebut bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut beliau, dokumentari yang lebih bersifat propaganda itu telah melanggar nilai kebebasan bersuara.

“Malah, ada kandungan yang bersifat melampau seperti mengaitkan Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya Shariibuu dan Kelvin Morais.

“Penyiaran kandungan ini adalah merupakan suatu bentuk perbicaraan oleh media tatkala Najib masih berdepan dengan perbicaraan di mahkamah dan mempunyai niat jahat untuk membentuk persepsi yang negatif ke atas beliau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Isnin lalu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghantar surat kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memohon supaya tayangan Man on the Run di Netflix dihentikan.

Man on the Run yang berkisar mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diarah, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim dan mula ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober lalu.

Dr Akmal memberitahu, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beberapa pihak dalam dokumentari itu juga merupakan penghinaan terhadap prosiding mahkamah yang sedang berjalan dan ia merupakan isu yang perlu dipandang secara serius oleh semua pihak.

Beliau menambah, hakikatnya, setiap individu dilindungi oleh undang-undang dan adalah salah untuk pihak lain menjustifikasikan individu tersebut bersalah selagi belum dibuktikan di mahkamah.

“Pemuda UMNO sentiasa memegang teguh prinsip integriti dan hak demokrasi.

“Maka atas prinsip inilah, Pemuda UMNO menyeru agar semua pihak dapat menghormati dan memelihara setiap kepentingan individu, seperti yang telah dimaktubkan dalam nas perundangan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast