ALOR GAJAH – Seorang pelancong maut terbakar manakala empat lagi cedera termasuk dua parah selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki terbakar dalam nahas di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, bas dua tingkat berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Lumpur membawa 29 penumpang warga India dan Singapura
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Timbalan Penguasa Bomba II (KUP) Zahrul Azha Mokhtar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.55 pagi sebelum 21 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba didapati sebuah bas terbakar 100 peratus selepas bas berkenaan telah melanggar sebuah motosikal yang terbabas sebelum itu.
“Bas membawa 30 mangsa dan kejadian mengakibatkan tiga daripadanya cedera sebelum dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dalam keadaan gelap pasukan bomba turut mencari dan mengesan jika ada mangsa lain di bahagian bawah bas dan sepanjang 150 meter laluan lebuh raya.
“Pemeriksaan mendapati penunggang motosikal berkenaan juga tiada di lokasi dan dapat dihubungi selamat di lokasi lain berdasarkan nombor plat yang dijejaki pihak polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan nahas tersebut dan seorang penumpang maut akibat terbakar.
“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan sedang menunggu maklumat lanjut dari pegawai penyiasat,” katanya. – MalaysiaGazette