Keadaan bas pelancongan yang terbakar sepenuhnya.

ALOR GAJAH – Seorang lagi mangsa nahas bas ekspres terbakar  di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi meninggal dunia malam ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, mangsa Peer Mohamed Kannudeen, 70, yang parah akibat melecur 80 peratus disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pukul 8.57 malam.

“Mangsa berasal dari Tamil Nadu, India merupakan datuk kepada mangsa pertama yang meninggal dunia di Hospital Alor Gajah pagi tadi.

“Jenazah akan dikebumikan di Kuala Ina, Alor Gajah pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang pelancong maut terbakar manakala empat lagi ahli keluarganya cedera termasuk dua parah selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki terbakar.

Mangsa maut dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu dikenali Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17 yang merupakan cucu kepada Peer Mohamed.

Bas dua tingkat berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Lumpur membawa 28 penumpang warga India, Singapura, United Kingdom dan Taiwan.

Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 21 tahun dipercauai terbabas sendiri di lokasi sebelum tercampak di lorong paling kiri.

Penunggangnya bagaimanapun sempat mengelak ke kiri jalan sebelum bas berkenaan melanggar motosikal terbabit menyebabkannya terbakar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bas bawa 28 pelancong terbakar, seorang rentung