Foto Facebook KFA.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) menafikan tuduhan kes penyelewengan atau pecah amanah melibatkan wang RM6 juta seperti yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya, Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, wang berkenaan adalah sebahagian daripada pinjaman dan yuran yang dibayar oleh sebuah syarikat yang berminat untuk memiliki saham dalam Darulaman Football Club Sdn Bhd (DAFC).

“(Syarikat) bersetuju memberi pinjaman sebanyak RM5 juta yang didepositkan ke akaun KFA pada tahun itu sebagai komitmen bagi pembelian saham DAFC yang bernilai RM30 juta.

“Rundingan seterusnya gagal mencapai kata sepakat setelah KFA mendapati syarikat itu bermasalah dan proses rundingan dihentikan serta-merta,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial rasmi KFA hari ini.

Foto Facebook KFA.

Susulan kerjasama berkenaan tidak berhasil, Muhammad Sanusi berkata, syarikat itu menuntut KFA membayar balik RM1.3 juta sebagai sebahagian daripada RM5 juta yang diberikan sebelum ini berdasarkan kemampuan kewangan persatuan itu.

Pada masa sama, Menteri Besar Kedah itu juga menjelaskan, satu lagi syarikat pula muncul dan mendakwa wang RM5 juta tersebut adalah milik mereka bukan syarikat terbabit.

“(Syarikat kedua) yang tidak pernah berurusan dengan KFA juga menuntut wang yang telah diberikan kepada (syarikat terbabit). Surat tuntutan itu disalinkan kepada KFA.

“Memberi sebarang projek berkaitan kerajaan negeri kepada pemiutang atau penyumbang adalah di luar kemampuan dan bukan bidang kuasa KFA. Jadi, pihak yang menipu adalah (syarikat terbabit) dan yang tertipu dengan janji-janji projek adalah Berjaya Corporation.

“(Syarikat terbabit) juga berharap diberikan projek membangunkan litar lumba tetapi penilaian Perbadanan Menteri Besar (MBI) selaku pemaju dan pemilik tanah menunjukkan (syarikat terbabit) langsung tidak mempunyai keupayaan.

“Kedua-dua syarikat tidak mendapat sebarang projek yang diharapkan walaupun telah memberi pinjaman kepada KFA,” katanya. – MalaysiaGazette