KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan supaya melaksanakan segera projek rancangan tebatan banjir (RTB) di seluruh negara.
Beliau berkata, janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan segera projek RTB pada Jun lalu hanya tinggal janji.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah menyatakan perkara yang sama di Johor, baru-baru ini.
“Projek ini terus dikesampingkan daripada perhatian dan menjadi janji politik apabila ianya terus sekadar menjadi ikrar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tuan Ibrahim menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam agar projek RTB yang dirancang di Pahang dilaksanakan segera dan tidak dipolitikkan.
Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu menambah, terdapat 25 projek RTB yang dirancang oleh kementerian itu sejak 2020 dan tujuh projek terletak di Pahang.
“Sampai bila rakyat harus menanggung kerugian akibat banjir dan menunggu janji-janji yang dilafazkan oleh kedua- dua pemimpin utama negara?” jelasnya.
Beliau juga menasihatkan kerajaan agar serius dalam menjaga kebajikan rakyat dan mendengar titah Seri Paduka.
“Tumpukan kerja tanpa takut kepada bayang-bayang ciptaan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette