KUALA LUMPUR – Pemimpin dalam negara disaran supaya tidak terlalu gelojoh berpolitik, sebaliknya memfokuskan kestabilan kerajaan demi pembangunan ekonomi.
Itu pendapat dan harapan majoriti rakyat pada hari ini yang inginkan pemulihan ekonomi berteraskan rakyat.
Menurut Aminudin Adnan, 31, gerakan atau usaha menjatuhkan kerajaan tidak lagi relevan pada waktu ini.
Jelas beliau kerana, rakyat mahu kerajaan yang stabil dalam tempoh masa panjang supaya dapat mentadbir negara dengan lancar.
Ekonomi yang stabil pada akhirnya akan membantu rakyat yang kini berhadapan dengan isu kos sara hidup.
“Kalau ikutkan sekarang kerajaan sudah stabil sudah lebih kurang stabil kalau ada isu pun tentang harga barang makin naik. Itu yang rakyat rasa terbeban tapi nak tak nak kena terima sebab itu cara bantu negara untuk dapat pendapatan.
“Kalau ada geraka-gerakan dakwaan-dakwaan buat kerajaan makin tidak stabil. Saya tidak setuju sudah berapa kali tukar Perdana Menteri,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Selain itu, Ruzila Othman, 56, menasihatkan agar pemimpin tidak kira dalam kalangan kerajaan mahupun pembangkang supaya elakkan pergaduhan sesama sendiri.
Katanya, apa yang penting adalah bekerjasama-sama memastikan ekonomi negara berkembang pesat dan membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif.
“Bagi saya pemimpin-pemimpin kita jangan bergaduh sesama sendiri, fikirkan rakyat, keperluan untuk rakyat sebab sekarang banyak rakyat hidup dalam kesusahan.Lagi pun gaji tidak setimpal pendapatan. Perkara sebegini perlu ditumpukan,” ujarnya.
Senada dengan Ruzila, Adlina Azizi, 30, menyifatkan rakyat jelak dengan adegan politik tidak berkesudahan dalam kalangan pemimpin-pemimpin tidak mengira parti dalam negara ini.
Tambahnya, kini tiba masanya rakyat disajikan dengan manfaat-manfaat yang berhak dimiliki.
“Golongan rakyat memang tidak mahu tahu politik-politik sebab kami mahukan kestabilan kerajaan.
“Pemimpin kena faham masing-masing ada pandangan jangan hanya utamakan gerakan-gerakan jatuhkan kerajaan kerana kita lebih banyak masalah yang perlu diutamakan khususnya pulihkan ekonomi. Negara kita sudah aman,” katanya.
Sebelum ini tercetus ura-ura wujudnya Langkah Dubai untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang baru setahun mentadbir negara.
Selain itu, wujud lagi dakwaan cubaan memberi rasuah oleh Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan. – MalaysiaGazette