Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan Karnival PROTÉGÉ@KUSKOP 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 14 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Program Keusahawanan PROTEGE anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya mencapai sasaran penglibatan 64,511 graduan universiti sejak 2021.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah itu melepasi sasaran 84 peratus daripada sasaran keseluruhan sehingga 2025 iaitu 76,690 graduan dan mahasiswa menyertai program tersebut dengan peruntukan RM30 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Karnival Protege @ KUSKOP merupakan pemula cara bagi pelaksanaan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dirancang pada tahun 2024.

“Pencapaian yang sangat memberangsangkan untuk kementerian ini melatih bakal pelapis negara kita pemimpin sama ada yang bekerja dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian di dalam program ini ataupun untuk kita membangunkan generasi muda kita.

“Graduan dan mahasiswa ini menjadi usahawan yang berjaya dan menjadikan mereka ini pemain dalam sektor ekonomi negara kita menjelang tahun 2030,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Protege @ Kuskop dan Program Sembang Protege X KRU di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Malah bagi mencapai 100 peratus sasaran, Ewon berkata, KUSKOP hari ini melancarkan dua program khusus iaitu Karnival Protege@KUSKOP 2024 dan Program Sembang Protege X KRU yang dilaksanakan dengan kerjasama KRU Studios bagi tujuan tersebut.

Ewon berkata, pelaksanaan enam siri karnival itu mensasarkan 9,000 pengunjung dengan pelbagai peluang untuk usahawan membuka reruai selain sesi temuduga kepada graduan yang mencari pekerjaan.

“Inisiatif yang dirangka selari dengan matlamat Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2023 yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang 2030,” katanya.

Ditanya mengenai perlindungan insurans untuk usahawan yang terkesan dengan bencana banjir setiap tahun, Ewon dalam pada itu berkata kerajaan sudah merangka beberapa program untuk menggalakkan usahawan mendapatkan lesen dan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Kita mempunyai beberapa program dengan Perkeso. Misalnya kita juga mempunyai program permulaan usahawan informal antara lainnya kita mahu usahawan informal yang tidak berdaftar tidak mempunyai lesen, mendaftar secara sah memiliki permit dan lesen perniagaan supaya membolehkan mereka mempunyai akses kepada perlindungan sosial.

“Perlindungan sosial termasuklah insurans dan harapan (saya) supaya perlindungan sosial insurans dapat dipanjangkan kepada usahawan usahawan di seluruh negara termasuklah yang berada di luar bandar berniaga sebagai penjaja, peniaga kecil misalnya kerana pada saya penting dalam keadaan di mana kita berhadapan dengan situasi bencana untuk mempunyai perlindungan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast