Empat lelaki warga asing yang dipercayai seludup minyak diesel yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Tanjung Piai, Johor, pagi tadi.

PONTIAN – Cubaan menyeludup minyak oleh empat lelaki Indonesia berjaya dipatahkan  oleh Maritim Malaysia di perairan Tanjung Piai, Johor sekitar 6 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, empat lelaki berkenaan yang berusia antara 33 hingga 50 tahun itu cuba menyeludup minyak diesel dengan menggunakan sebuah bot kayu tanpa tanda nama di kedudukan 3.5 batu nautika tenggara Tanjung Piai.

Jelas beliau, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan operasi telah mengesan bot kayu dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 5.30 pagi sebelum melakukan pemeriksaan lanjut terhadap bot kayu tersebut.

Bot kayu yang berisi 1,880 liter bahan bakar.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai pengenalan diri dan membawa sekitar 1,880 liter bahan bakar disyaki diesel di dalam tong minyak pelbagai saiz.

Kesemua suspek dan bot kayu telah ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kastam 1967, minyak disyaki diesel sebanyak 1,880 liter turut disita.

Untuk perbandingan, minyak diesel di Malaysia berharga RM2.15 seliter manakala di Indonesia berharga sekitar RM4.49 seliter. – MalaysiaGazette