Bangunan Bank Muamalat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperluas penyaluran bantuan kepada mangsa banjir di Pahang yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan terkini isu banjir yang berlaku di seluruh negara dan komited  membantu meringankan beban mangsa yang terkesan secara kewangan dan emosi.

“Bank Muamalat memahami kesulitan yang dihadapi dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas akibat bencana.

“Bantuan banjir adalah berupa kit bantuan makanan.

“Ia diserahkan oleh Pengurus Cawangan Bank Muamalat Pekan, Mohamad Yusof Ibrahim kepada 160 keluarga yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Merchong Jaya, Pekan, semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) Bank Muamalat sentiasa bersifat proaktif dalam membina ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’.

“Semoga bantuan yang diberikan serta kunjungan kakitangan Bank Muamalat ke PPS sedikit sebanyak memberi kelegaan dan memberi semangat baharu kepada mangsa-mangsa banjir,” ujarnya. – MalaysiaGazette