KUALA LUMPUR – Hutang kerajaan meningkat secara mendadak hampir dua kali ganda selepas enam tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, berdasarkan Belanjawan 2024, hutang kerajaan tahun ini dijangka meningkat kepada RM1,263 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM576.2 bilion berbanding 2017.
Sebagai perbandingan, jumlah hutang kerajaan sebelum itu adalah RM630.5 bilion pada 2015, RM648.5 bilion (2016), RM686.8 bilion (2017), RM1,079.6 bilion (2022) dan RM1,182.2 bilion (2023).
“Untuk rekod, hutang kerajaan naik RM185.2 bilion dalam tempoh lima tahun terakhir Najib berbanding kenaikan RM392.8 bilion dalam tempoh lima tahun selepas Najib,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 Jun 2018 dilaporkan berkata, negara akan menanggung hutang RM300 bilion lagi sekiranya Najib masih berkuasa selepas PRU14.
Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng pula mendakwa hutang negara berjumlah RM1.087 trilion yang merangkumi hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion, jaminan kerajaan (RM199.1 bilion) dan pembayaran pajakan untuk projek awam-swasta (RM201.4 bilion).
Sian See memberitahu, hutang kerajaan bertambah hanya sebanyak RM56.3 bilion dalam tempoh dua terakhir kenaikan sebanyak RM106.2 bilion dalam tempoh Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh.
Beliau menambah, jumlah hutang tetap meningkat walaupun pentadbiran Dr Mahathir dikatakan menjual banyak aset negara dan ‘menjarah’ Petronas dengan alasan mengurangkan hutang.
“Najib tambah aset-aset negara (Khazanah naik RM7 bilion), kurang ambil dividen Petronas (RM32 bilion tempoh dua tahun), hutang naik lebih perlahan tapi Dr Mahathir banyak jual aset-aset negara (Khazanah turun RM37 bilion), jarah Petronas RM80 bilion dalam tempoh dua tahun tetapi hutang naik sekali ganda lebih laju,” jelasnya. – MalaysiaGazette