Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya memberikan contoh yang baik dan menjadi ejen mempromosikan kesatuan pelbagai kaum di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai biadap.

“Tindakan ini adalah satu penghinaan terhadap nilai-nilai yang kita semua percayai sebagai rakyat Malaysia yang bertoleransi.

“Kaum India di Malaysia adalah rakyat Malaysia. Sebagai anak yang keturunan kaum India, nenek moyang saya dan seluruh komuniti kaum India di Malaysia tiada kesetiaan selain daripada negara kita.

“Segala kerja yang dilangsung oleh kaum India di Malaysia adalah untuk Malaysia sahaja. Siapakah Tun M untuk menghinakan kejasaan ahli komuniti saya terhadap negara kita? Kita adalah Malaysian First bukan macam kawan karibnya, tokoh-tokoh Perikatan Nasional dan Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Dr Mahathir mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih terikat dengan negara asal mereka.

Sebuah portal hari ini melaporkan Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu menerusi sesi temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Dalam pada itu, Preakas turut berpandangan kenyataan Dr Mahathir akan ‘mencederakan’ kemajuan yang dikecapi pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Dengan itu, beliau mencadangkan agar Mahathir bersara sahaja daripada arena politik.

“Sudah sampai masa untuk beliau (Dr Mahathir) bersara dan memberi jalan kepada generasi baharu yang ingin memajukan Malaysia sebagai sesuatu negara yang berpadu.

“Sebagai wakil rakyat yang berpegang kepada prinsip kesatuan dan keadilan, kami menyeru kepada semua pihak untuk menolak dan mengutuk sebarang kenyataan yang boleh membahayakan perpaduan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette