PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri akan memendekkan tempoh permohonan bagi pengambilan pekerja asing dari 29 bulan 13 hari ketika ini kepada 15 bulan 23 hari.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 46 peratus pengurangan tempoh itu dibuat selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kos membawa masuk pekerja asing ke negara ini.
“Sebelum ini, proses ini memakan masa 29 bulan 13 hari. Dari permohonan kuota hingga kemasukan.
“Tapi hari ini keputusan mesyuarat kita bersetuju dengan syor bahawa tempoh itu kita akan pendekkan kepada 15 bulan 23 hari.
“Bayaran levi, tempoh lama 30 hari, tapi bila kita teliti data majikan, bila dia dapat kelulusan, hampir 70 peratus majikan bayar dalam tempoh 15 hari.
“Kenapa kita perlu 30 hari? Jadi kita pendekkan tempoh kepada 15 hari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KDN, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Saifuddin juga berkata, langkah mempercepatkan proses permohonan pengambil pekerja asing itu adalah komitmen kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi ketika ini.
“Komitmen Kerajaan Madani untuk mengurangkan kos membawa masuk pekerja asing
“Kerajaan juga mahu mempercepatkan proses permohonan di semua peringkat,
“Apabila pekerja asing sudah berada di dalam negara, kebajikan mereka (keselamatan, gaji, tempat tinggal) adalah keutamaan dan tanggungjawab kerajaan kita,” katanya.
Ditanya tentang kuota pengambil pekerja asing, Saifuddin berkata, Kabinet belum membuat sebarang ketetapan baharu berhubung perkara itu.
“Status quo masih kekal (kuota pengambilan pekerja asing). Bila nak buka kita tak tahu lagi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan jumlah pekerja asing di negara ini seramai 2.7 juta sudah melebihi penduduk Malaysia berketurunan India yang berjumlah 2 juta orang. – MalaysiaGazette