Zambry Abdul Khadir

JASIN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diselesaikan selewat-lewatnya Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, isu yang membelenggu pelajar dan kakitangan universiti awam itu sejak 2021 harus menjadi keutamaan ketika ini.

“Saya sendiri akan pantau hal ini kerana ia perkara serius…apa yang saya nak dah dijelaskan kepada mereka (UMS).

“Mereka harus selesaikan segera seperti sebelum ini mereka maklumkan dalam kadar dua bulan (selesai) sampai Mac, jadi saya nak lihatlah (pelaksanaan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra bersama masyarakat di Kampung Merlimau Pantai dan membuat lawatan ke Kolej Komuniti Jasin dan Politeknik Merlimau, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.

Zambry melihat produk rekaan pelajar Kolej Komuniti Jasin, Melaka hari ini.

Pada 8 Januari lalu, beberapa penuntut UMS membuat demonstrasi aman ketika lawatan Dr Zambry berhubung masalah bekalan air dihadapi mereka.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkenaan menyediakan laporan selepas beliau meluluskan RM3 juta kepada UMS tahun lalu untuk menyelesaikan masalah itu.

Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata, beliau amat bersimpati dengan isu bekalan air yang dihadapi warga UMS sehingga terpaksa menganjurkan himpunan 8 Januari lalu ekoran masalah berlarutan sejak dua tahun lalu.

“Sebab itu, saya sendiri turun bertemu mereka dan sewajarnya pihak universiti menjadikan masalah yang berpanjangan sejak 2021 itu keutamaan.

“Alasan seperti tiada peruntukan dan sebagainya mereka boleh maklumkan pada kerajaan mengenai bagaimana kita nak selesaikannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast