SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua bekas anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM18,000 sebagai balasan bagi menutup satu siasatan kes pengubahan wang haram terhadap seorang lelaki.

Sumber memberitahu, suspek lelaki pertama berusia dalam lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira jam 5.10 petang di sekitar Kuala Lumpur.

Manakala suspek lelaki kedua juga berusia sekitar 30-an telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada jam 8.57 malam tadi.

Kedua-dua suspek dipercayai menyamar sebagai pegawai dari Unit Risikan Bukit Aman dan telah datang ke pejabat mangsa di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis minggu lalu.

“Suspek telah memberitahu kononnya terdapat satu kes SPRM yang dibuka terhadap mangsa membabitkan kesalahan di bawah akta pengubahan wang haram.

“Sehari selepas itu, suspek datang semula ke pejabat mangsa dan telah meminta wang rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan untuk menutup siasatan berkenaan,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada suspek dan memaklumkan akan menyerahkan baki RM8,000 pada Isnin (15 Januari 2024) sebelum membuat laporan kepada SPRM pada Ahad lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk tujuan permohonan reman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast