Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan mahkamah selepas pendegaran permohonan pasport antarabangsanya di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan 1 Mac depan bagi status representasi yang dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7.09 juta.

Rosmah juga mahu menggugurkan lima lagi dakwaan kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mahkamah hari ini dimaklumkan oleh pendakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi berkenaan.

Ini merupakan representasi ketiga Rosmah selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos 2023 masih belum diputuskan AGC.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, beberapa perkara perlu dilakukan termasuk mendapatkan pernyataan beberapa individu untuk melengkapkan siasatan bagi membuat kesimpulan berkaitan representasi tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy membenarkan mahkamah ditangguhkan sehingga 1 Mac depan bagi status representasi itu.

Terdahulu ketika prosiding, peguam mewakili Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memohon penangguhan perbicaraan memandangkan anak guamnya sedang cuti sakit.

Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

Beliau didakwa telah mendepositkan puluhan keping cek dan wang tunai berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun Affin Bank miliknya walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika itu.

Wang lebih RM7 juta itu didakwa digunakan oleh Rosmah untuk membayar bil-bil telefon dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarganya.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Jika sabit salah, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah kesalahan tersebut. – MalaysiaGazette