Joo Leong didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian dua guru lelaki di Kepala Batas pada Disember lalu.

BUTTERWORTH – Seorang jurutera perkhidmatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian dua guru di Kepala Batas pada Disember lalu.

Tertuduh, Teoh Joo Leong, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa memandu kereta dengan kandungan alkohol melebihi had hingga menyebabkan kematian Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, dan Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32.

Joo Leong didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Permatang Baru dalam Daerah Seberang Perai Utara jam 2.30 pagi pada 16 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan dan Chew Anthony.

Ketika prosiding, Nurameera menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Benjamin memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan minimum atas faktor anak guamnya berstatus duda dengan pendapatan RM7,000 sebulan perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Siti Zulaikha membenarkan tertuduh diikat RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 7 Mac depan.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua guru mangsa nahas baru pulang rai rakan tukar sekolah

Media pada 16 Disember lalu melaporkan dua guru yang maut dalam nahas akibat dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Permatang Baru, Kepala Batas dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis meraikan rakan seperjuangan mereka yang akan berpindah sekolah. –  MalaysiaGazette