KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah filem ‘Mentega Terbang’ akan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, pagi ini atas dakwaan menghina agama Islam.
Difahamkan, penerbit filem itu, Tan Meng Kheng dan pengarah, Mohd Khairianwar Jailani akan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) kira-kira jam 9 pagi di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin dan Noorelynna Hanim Abd Halim.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan filem itu namun kedua-dua individu tersebut memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem berkenaan.
Dakwa mereka, tindakan itu melanggar hal kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mentega Terbang berkisarkan konflik agama yang dihadapi seorang remaja Islam yang mempelajari agama lain bagi persoalan hidup selepas mati.
Filem berdurasi 104 minit juga didakwa oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai bertentangan dengan akidah serta kehidupan Islam beraliran Mazhab Syafie. -MalaysiaGazette