KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah filem ‘Mentega Terbang’ hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, melukakan perasaan agama orang lain.
Pengarah, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbit filem itu, Tan Meng Kheng yang dibicara berasingan di mahkamah mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan lalu mohon dibicarakan.
Pertuduhan berasingan itu dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan Aina Azahra Arifin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Khairianwar didakwa melukakan perasaan agama orang lain dalam peranannya sebagai pengarah dan penulis skrip ‘Mentega Terbang’ pada 26 Februari di Jalan Semarak, di sini.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Meng Kheang pula didakwa melakukan kesalahan itu atas kapasitinya sebagai penerbit filem itu pada tarikh dan lokasi sama.
Mohd Khairianwar kemudian dibenarkan dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain diberikan peringatan supaya tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan kes itu sehingga ia selesai.
Sebutan kes ditetapkan pada 14 Mac depan.
Mentega Terbang berkisarkan konflik agama yang dihadapi seorang remaja Islam yang mempelajari agama lain bagi persoalan hidup selepas mati.
Filem berdurasi 104 minit juga didakwa oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai bertentangan dengan akidah serta kehidupan Islam beraliran Mazhab Syafie.
Sementara itu, Tan Meng Kheang dijamin RM6,500 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan kedua-duanya melapor diri di balai polis berdekatan, sekali setiap bulan. – MalaysiaGazette