KUANTAN – Kerajaan Pahang sedang mempertimbangkan cadanagn bagi melaksanakan subsidi air kepada rakyat bergolongan B40 di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan pihak yang terlibat.
Bantuan subsidi dicadangkan bagi mengurangkan beban golongan tersebut susulan kenaikan tarif air di negeri itu yang akan bermula pada Februari nanti.
Menurutnya, pelaksanaan kadar tarif air baharu di Pahang dijangka naik dari 37 kepada 78 sen semeter padu di mana setelah 40 tahun tidak ada sebarang kenaikan.
“Insya-Allah kita akan melihat kenaikan tarif ini di mana kemungkinan kita akan memberi sedikit subsidi atau bantuan kepada golongan B40 yang terlibat, sekarang perkara ini masih dikaji dan diperhalusi.
“Ia memerlukan sedikit masa kerana perkara ini baru diumumkan dan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan belum dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pahang Skills, E&P O&M Services Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, melalui tarif baharu itu dijangka akan memberi hasil kira-kira RM80 juta setahun kepada kerajaan negeri.
“RM80 juta itu jangkaan kita namun sekiranya subsidi diberikan mungkin jumlahnya menurun dari sasaran itu. Hasil air ini akan digunakan kembali untuk menaik taraf perkhidmatan air di negeri ini,” tambahnya.
Terdahulu pelarasan tarif air yang akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tarif air Pahang sudah 40 tahun tak naik – MB
Penyelesaian isu air mengikut jadual – Wan Rosdy