Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika keudara di konti radio Pahang.fm bersama penyampai radio DJ Azah hari ini

KUANTAN – Penyelesaian isu air di negeri ini melibatkan 226 projek bernilai RM267 juta giat dijalankan mengikut jadual.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu sebahagian daripada RM2.6 bilion yang diperuntukan untuk menangani krisis air di Pahang.

Tambahnya, kerajaan negeri optimis 90 peratus masalah bekalan air di negeri itu akan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 2026.

”Antara projek yang telah siap dilaksanakan adalah pembinaan baharu Loji Rawatan Air (LRA)  Karak 2, yang telah berjaya menyelesaikan isu bekalan air bagi kawasan Karak dan Lanchang.

”Selain itu, pelaksanaan kerja-kerja menukar pam di muka sauk Rumah Pam Kobat daerah Kuantan, yang mana ia telah membantu memastikan bekalan air stabil terutama bekalan ke Kawasan Perindustrian Gebeng,”  katanya menerusi PahangFM hari ini.

Ini termasuk kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Jelai daerah Lipis. – MalaysiaGazette